1.0 Pengenalan dan Latar Belakang
Negara Malaysia pada dasarnya mengamalkan dasar ekonomi terbuka. Dasar ini mudah dipengaruhi oleh perubahan suasana ekonomi antarabangsa atau negara-negara luar, terutamanya negara-negara maju. Namun begitu, ekonomi negara Malaysia tetap kukuh walaupun ekonomi Malaysia hari ini diasaskan dari sejarah perkembangan yang bertitik tolak dari zaman keagungan Kerajaan Melaka dan di zaman penjajahan British. Kesan yang paling ketara akibat daripada tindakan penjajah British yang mencorakkan aktiviti ekonomi negara semasa penjajahan mereka ialah berlaku ketidakseimbangan pembahagian aktiviti ekonomi dalam perkembangan dan pertumbuhan ekonomi di antara sektor, kawasan, kaum dan sebagainya. Namun begitu, ekonomi negara Malaysia tetap kukuh walaupun ekonomi Malaysia hari ini diasaskan dari sejarah perkembangan yang bertitik tolak dari zaman keagungan Kerajaan Melaka dan di zaman penjajahan British.Pada umumnya, terdapat tiga kumpulan kaum utama yang membentuk masyarakat Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Di samping tiga etnik ini, terdapat pula kumpulan minoriti seperti Orang Asli, Punjabi, Serani dan lain-lain. Kehadiran tiga kaum ini dan kaum-kaum lain telah mewujudkan masyarakat majmuk di negara ini. Walaupun mereka menetap di sebuah negara yang sama, namun ketiga-tiga kaum ini masih mengekalkan identiti masing-masing dan mengamalkan tradisi yang tersendiri. Mereka masing-masing telah mengamalkan aktiviti seperti pertanian, perlombongan dan perdagangan dan saling mewujudkan perkongsian hidup di dalam aspek ekonomi.
1.1 Istilah bagi Pertanian
Pertama sekali kita lihat terjemahan bagi istilah pertanian dalam bahasa Inggerisnya, agri dari bahasa latin ager, bermakna "a field" (iaitu sebidang tanah). culture dari bahasa Latin cultura, bermakna "cultivation" iaitu tillage of the soil. Secara literalnya, pembacaan dalam bahasa Inggeris menjadikannya : tillage of the soil of a field. Pertanian meliputi aktiviti mencucuk tanam, ternakan dan kebun buah-buahan dan ianya merupakan pengeluaran bahan makanan, makanan ternakan, fiber, biofuel dan bahan lain yang melalui suatu sistem ternakan atau tanaman. Dengan lain perkataan, pertanian adalah amalan mengerjakan sesuatu kawasan untuk menghasilkan tanaman dan ternakan. Pertanian juga melibatkan amalan penyimpanan, pemprosesan dan pemasaran hasil pertanian.
2.0 Sejarah perkembangan ekonomi di Malaysia
Kedudukan geografi Semenanjung Tanah Melayu yang berada di pintu gerbang Selat Melaka dan muara-muara sungai yang beroperasi sebagai pelabuhan semulajadi telah membekalkan faedah kepada perkembangan ekonomi Semenanjung Tanah Melayu. Kedudukan ini telah memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk bergiat dalam bidang perdagangan dan perkhidmatan. Dengan pembukaan pusat perdagangan yang lebih banyak dan terbentuknya system pelabuhan, ekonomi Semenanjung Tanah Melayu mula berkembang pesat. Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka merupakan faktor utama kepada kemajuan ekonomi Negeri-Negeri Melayu.
Kota Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan “entrepot” yang terkenal di seluruh Asia. Kegemilangan Melaka menunjukkan taraf keupayaan pemerintah dan rakyatnya mengendalikan satu sistem ekonomi yang maju pada zaman itu. Perdagangan merupaka kegiatan ekonomi yang maju pada masa itu.Perdagangan merupakan kegiatan ekonomi yang utama bagi masyarakat Melayu pada zaman keagungan empayar Melaka. Kegiatan perdagangan orang Melayu berada di kemuncak apabila Melaka menjadi tumpuan pedagang-pedagang asing. Institusi politik dan sosial seperti sistem kerah, berhutang, ufti dan persembahan hasil daripada jajahan-jajahan takluk merupakan hasil pengeluaran yang melebihi keperluan.
Menurut Jomo S. (1998). Pembangunan ekonomi dan kelas sosial Semenanjung Malaysia. Terbitan Dewan Bahasa dan Pusaka; Kuala Lumpur menyatakan Kerajaan Melayu Melaka juga menjalankan sistem cukai dan pengawalan keluaran pertanian dan hasil bumi seperti emas dan bijih timah untuk membentuk sistem mata wang untuk memudahkan sistem tukar barang atau ‘barter’. Mata wang yang pertama kali digunakan ialah kulit siput gewang. Apabila perdagangan semakin makmur, wang logam daripada timah telah diperkenalkan. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, wang timah telah digunakan dengan meluas. Mata wang emas dan perak telah diperkenalkan kemudian oleh saudagar-saudagar Arab, Cina dan India. Penggunaan beberapa jenis mata wang membuktikan bahawa perdagangan adalah aktiviti ekonomi yang amat penting bagi masyarakat Melayu pada abad ke-14.
2.1 Perkembangan dan pembangunan ekonomi
Pusat perdagangan utama Tanah Melayu pada abad ke-15 ialah Melaka, Riau, Johor muncul sebagai pusat perdagangan yang unggul di Kepulauan Melayu pada abad ke-16 dan abad ke-17.Pada abad ke-18 , Kuala Terengganu muncul sebagai pusat perdagangan utama di Negeri-negeri Melayu.Selain kegiatan perdagangan, perlombongan merupakan kegiatan ekonomi yang kedua penting di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bijih timah merupakan hasil utama yang mendorong saudagar-saudagar asing datang berniaga ke Tanah Melayu. Saudagar India telah datang ke tanah Melayu sejak abad ke-2 lagi untuk membeli bijih timah. Pada abad ke-9, saudagar Arab telah membeli bijih timah dari Kedah.
Pada tahun 1416, bijih timah telah dieksport ke luar negeri menerusi pelabuhan Melaka dan Pahang.Kawasan perlombongan yang utama terdapat di Manjung dan Beruas, Perak. Menurut cacatan sejarah oleh Faaland J., Parkinson J., & Rais Saniman. (2003) dalam terbitannya Malaysia’s new economic policy, (2nd ed.) ada menyatakan bahawa sejarah kegiatan perlombongan di negeri ini bermula pada tahun 1616. Manakala menurut cacatan oleh Hj, Dr. Syed Ibrahim, (2007) dalam terbitannya Malaysia Kita menyatakan ramai pembesar Melayu menceburkan diri dalam kegiatan melombong bijih timah kerana perlombongan mendatangkan hasil yang lumayan.
Selain daripada bijih timah, terdapat juga kegiatan melombong emas di Tanah Melayu. Pahang merupakan negeri pengeluar emas yang utama. Kawasan perlombongan emas yang penting ialah Sungai Bera, Sungai Bikut, Sungai Jelai dan Sungai Semantan. Kegiatan ini dijalankan oleh orang Melayu dan Minangkabau. Tanah Melayu muncul sebagai negeri pengeluar emas yang penting pada zaman itu sehingga seorang ahli geografi Yunani menggelarkan Tanah Melayu sebagai “Golden Chersonese” yang bermaksud negara emas. Emas yang dihasilkan di Pahang diperdagangkan di Melaka.Sebelum berkembangnya kegiatan perdagangan dan perlombongan, penduduk awal Tanah Melayu telah menjadikan bidang pertanian sebagai kegiatan utama mereka. Ini dibuktikan dengan penemuan pisau pipih yang digunakan untuk menuai padi. Dua jenis penanaman padi telah diusahakan oleh penduduk Tanah Melayu iaitu padi sawah dan padi bukit. Padi sawah ditanam di kawasan-kawasan rendah, manakala padi bukit ditanam di lereng-lereng bukit.
Sektor pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi negara-negara membangun seperti Malaysia. Malah ia merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju. Sektor ini jugalah yang telah menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka yang mana pada masa tersebut, majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan perlombongan.
Namun, dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan negara, sektor pertanian beransur-ansur dipandang sayu. Para petani juga tidak lagi berminat menjalankan kerja-kerja tani yang dahulunya pernah menjadi pekerjaan turun-temurun. Lebih parah, generasi pelapis yang diharapkan akan meneruskan pekerjaan turun-temurun itu lebih berminat berhijrah ke bandar-bandar besar mencari pekerjaan yang lebih ´bermaruah´ dan menawarkan pendapatan yang lebih tinggi dan terjamin dalam sektor perindustrian.
Hal ini kerana imej pekerjaan di sektor perindustrian dilihat lebih tinggi dan memiliki kemudahan sosial yang lebih baik. Peluang membaiki taraf ekonomi melalui pendapatan di sektor perkilangan dan perkhidmatan lebih terjamin. Sebaliknya, pendapatan di sektor pertanian tidak stabil.
Penghijrahan tenaga buruh dari sektor pertanian ke sektor bukan pertanian ini mengakibatkan kekurangan tenaga buruh di sektor pertanian. Malah, bilangan ladang di Semenanjung Malaysia yang mengalami masalah tenaga buruh turut meningkat tahun demi tahun.
Kekurangan tenaga buruh yang mendesak menyebabkan ramai pekerja asing dibawa masuk. Di antara tahun 2001-2003 sahaja, seramai 19,343 buruh asing tambahan telah diambil bekerja dalam sektor pertanian (termasuk sektor peladangan). Lebih parah, petani asal yang tinggal adalah terdiri daripada petani yang sudah tua dan uzur. Berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan oleh Kementerian pada tahun 2002/2003, 39% daripada petani yang ditemubual berumur lebih dari 55 tahun.
Selain daripada faktor penghijrahan ini, antara masalah yang dihadapi oleh sektor pertanian kini ialah saiz ladang yang berskala kecil dan tidak ekonomik. Saiz tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti dan kos pengeluaran yang tinggi.
Kajian yang dijalankan mendapati 65% pesawah padi mengusahakan sawah yang bersaiz kurang dari satu hektar. Sub-sektor pengeluaran makanan pertanian juga terpaksa bersaing dengan sektor perladangan untuk mendapatkan tanah yang baik. Umpamanya, sektor perladangan sahaja menguasai 83% daripada 6.36 juta hektar tanah yang bertanam.
Di samping saiz tanah yang kecil dan tidak ekonomik, terdapat beberapa faktor lain yang mempengaruhi daya pengeluaran yang rendah dan kos purata yang tinggi di sub-sektor pekebun kecil. Pertama ialah kekurangan tenaga buruh yang berpelajaran, produktif dan cekap.
Kekurangan ini akan menyebabkan perancangan yang baik dan pengurusan yang cekap tidak dapat dilaksanakan. Juga, petani yang kurang pendidikan akan menghadapi masalah kekurangan modal kerana mereka sukar memperolehi kredit daripada institusi kewangan. Untuk mendapatkan kredit, mereka terpaksa memenuhi syarat dan keperluan yang kompleks yang ditetapkan oleh institusi berkenaan.
Kekurangan modal pula merupakan penghalang untuk mereka menyerap teknologi moden, terutamanya menanam semula tanaman getah yang telah tua dengan baka benih atau klon yang tinggi daya pengeluarannya dan lumayan hasilnya. Sebabnya untuk menanam semula, petani terpaksa menunggu sekurang-kurangnya empat tahun untuk mendapatkan hasil. Dalam tempoh tersebut, mereka tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan semasa lagi. Dengan itu, walaupun teknologi moden berpotensi memberikan manfaat yang besar, mereka tidak berkemampuan untuk menerimanya.
Disebabkan kekurangan pengetahuan tentang teknologi moden, kebanyakan petani tidak mengguna baka benih atau klon yang berdaya pengeluaran tinggi yang terkini, tidak menggunakan baja dan bahan kimia secara optimum dan betul, tidak melaksanakan pembaik pulih tanah dan mengamalkan adat dan budaya tradisi yang tidak mendorong ke arah memperoleh daya pengeluaran yang tinggi.
Selain daripada itu, negara juga menghadapi masalah kekurangan benih di sektor-sektor kecil tertentu. Bagi sektor sayur-sayuran umpamanya, 95% benih yang diperlukan adalah diimport dari Thailand, Taiwan, China, Australia dan lain-lain lagi. Benih buah-buahan seperti benih hybrid tembikai yang berhasil tinggi pula perlu djimport dari luar negeri seperti Taiwan. Harga benih hybrid ini agak tinggi dan mengakibatkan peningkatan kos pengeluaran. Negara juga perlu mengimport 25% benih ikan untuk menampung keperluan semasa.
Dari segi pelaburan swasta dalam sektor makanan, ianya lebih rendah jika dibandingkan dengan pelaburan di dalam sektor pembuatan atau sektor perladangan. Ini kerana masih wujudnya persepsi bahawa sektor pertanian mundur dan memberi pulangan yang kurang berbanding sektor lain.
Selain daripada itu, sektor pengeluaran makanan juga memerlukan usaha lebih intensif berbanding dengan sektor-sektor lain. Sebagai usaha untuk memodenkan sektor pertanian dan meningkatkan ladang sedia ada kepada ladang berskala komersil, Kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak syarikat swasta yang besar untuk menceburi sektor pengeluaran makanan.
Liberalisasi perdagangan di bawah WTO dan AFTA juga akan menyebabkan hasil pertanian negara menghadapi persaingan lebih sengit daripada negara-negara pengeluar yang lain yang mempunyai kelebihan kos pengeluaran yang rendah. Lambakan hasil pertanian dijangka akan berlaku apabila sekatan bukan tarif di negara-negara ahli yang mempunyai kos pengeluaran lebih tinggi dihapuskan.
Import makanan negara turut meningkat setiap tahun kesan dari pertambahan bilangan dan taraf hidup penduduk. Pada tahun 1996, import makanan (termasuk makanan ternakan) dan input pertanian adalah RM10.5 bilion berbanding dengan RM4.6 bilion pada 1990. Pada tahun 1997 (Januari-Oktober) importnya adalah RM9.1 bilion.
Kenaikan permintaan makanan membawa kepada kenaikan harga makanan. Pada 1996, kenaikan harga makanan menyumbangkan 57% daripada kenaikan Indeks Harga Pengguna. Kejatuhan ringgit sejak Julai 1997 sebanyak 40% (RM2.6 kepada RM3.6 sedolar) telah meningkatkan kos import makanan dan input pertanian.
Malaysia mengalami defisit dalam perdagangan makanan (termasuk makanan binatang) dan input pertanian. Ini bermakna terdapat lebihan aliran keluar wang negara bagi membiayai import. Pada tahun 1996 eksportnya adalah sebanyak RM4.2 bilion, dan pada 1997 (Januari-Oktober 1997) adalah RM4.5 bilion. Ini bermakna defisit dalam perdagangan makanan dan input pertanian ialah RM6.3 bilion pada 1996, dan RM4.6 bilion pada 1997.
Krisis kewangan telah menyedarkan Malaysia akan perlunya peningkatan dalam aspek keselamatan makanan negara melalui pengeluaran makanan sendiri dan menyusun strategi bagi mengurangkan pergantungan makanan dari negara lain. Juteru, di sinilah sektor pertanian memainkan peranan pentingnya.
2.2 Cabaran dan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan untuk kestabilan ekonomi Negara.
Di antara cabaran-cabaran baru yang dihadapi oleh sektor pertanian adalah seperti Keperluan untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi, selamat, berkhasiat serta bermutu tinggi pada harga yang berpatutan. Kedua adalah keperluan untuk mengurangkan penggunaan buruh dalam kegiatan pertanian. Ketiga adalah keperluan untuk memaksimakan penggunaan sumber-sumber terhad yang sedia ada seperti tanah dan air. Keempat pula adalah keperluan untuk memperkukuhkan daya saingan sektor pertanian negara. Kelima adalah keperluan untuk meningkatkan pelaburan swasta dalam pengeluaran makanan. Keenam adalah keperluan untuk merubah sektor pekebun kecil. Ketujuh adalah keperluan untuk menyokong perindustrian negara dan pelaburan luar negara. Dan yang terakhir adalah keperluan bagi memastikan pembangunan pertanian dan perhutanan yang mampan.
Untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut dasar pertanian negara yang baru (DPN3) telah digubal bagi menjamin pembangunan pertanian dan perhutanan yang dapat disesuaikan dengan perkembangan-perkembangan terbaru yang berlaku di dalam dan di luar negara. Strategi pembangunan sektor pertanian dan perhutanan disepadukan untuk mengatasi masalah kekurangan sumber, terutamanya tanah dan buruh: menggalakkan petani-petani mengamalkan teknik-teknik pertanian moden melalui sistem bersepadu yang menggabungkan tanaman, perikanan dan ternakan serta dilengkapi dengan aktiviti agropelancongan. Di samping itu, dasar-dasar bagi pengurusan ekonomi makro sektor-sektor lain perlu diambilkira bagi mempastikan dasar pertanian adalah konsisten, melengkapi, relevan dan selari dengan dasar-dasar pembangunan yang dilaksanakan oleh pelbagai Kementerian. Dasar-dasar tersebut ialah dasar perindustrian, sains dan teknologi, kepelbagaian biologi dan alam sekitar. DPN3 melengkapkan pendekatan pembangunan berkelompok industri berasaskan pertanian yang telah dikenalpasti dalam Pelan Induk Perindustrian 2 (1996-2005) melalui pengukuhan pertalian dalam dan antara sektor ekonomi yang akan merangkumi pembangunan dan peluasan industri sokongan dan perantaraan. Pembangunan industri baru seperti bioteknologi, produk kimia semulajadi yang dihasilkan daripada sumber biologi dan produk biomass kelapa sawit adalah selaras dengan dasar pembangunan sains dan teknologi. Strategi untuk pemuliharaan sumber biologi dan semulajadi seperti hutan, marin dan air pula akan memenuhi kehendak dasar kepelbagaian biologi dan alam sekitar. Rantaian pertanian dengan sektor industri dan penekanan kepada pemuliharaan sumber semulajadi akan mengukuhkan lagi sektor pertanian dan menjamin pembangunan mampan. Oleh itu, DPN3 telah digubal dengan tujuan menjadikannya satu dasar yang komprehensif, melengkapi dasar-dasar yang lain (complementary), pragmatik serta fleksibel.
3.0 Kepentingan Bidang Pertanian
Sektor pertanian menjadi tunjang kekuatan ekonomi negara pada suatu ketika dahulu. Hasil getah, kelapa sawit, padi dan seumpamanya juga pernah menjadi penyumbang terbesar pendapatan negara dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negara ini. Namun, kemajuan arus pembangunan negara yang lebih menjurus kepada sektor perindustrian telah menenggelamkan bidang pertanian sedikit demi sedikit terutamanya dalam dekad terakhir abad kedua puluh. Walau bagaimanapun, keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu pada permulaan awal alaf baharu ini, mengembalikan semula kepentingan bidang pertanian di negara kita. Peralihan pucuk pimpinan negara pada akhir tahun 2003 mungkin dapat dilihat sebagai permulaan terhadap kebangkitan semula sektor pertanian di negara ini dari zaman suramnya kira-kira dua dekad yang lalu. Kesungguhan kerajaan bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memajukan bidang pertanian dapat dilihat melalui peruntukan pembangunan yang sangat banyak untuk memajukan bidang ini kita saksikan dalam belanjawan tahun 2015. Langkah ini amat tepat memandangkan negara kita mengimport bahan makanan yang terlalui banyak seperti gula, beras, buah-buahan dan sebagainya sedangkan kita mampu menghasilkan sendiri bahan makanan tersebut. Oleh itu, tumpuan terhadap bidang pertanian mampu mengurangkan pengaliran wang ke luar negara dan sekaligus mengelakkan defisit pada imbangan perdagangan luar negara.
Selain dapat mengukuhkan imbangan perdagangan negara, penumpuan terhadap sektor pertanian berupaya mengelakkan pergantungan negara pada bekalan bahan makanan dari luar negara. Hal ini demikian kerana kadar pertumbuhan pesat penduduk di negara ini yang sudah pasti akan memerlukan jumlah makanan yang lebih besar. Kebanyakan bahan makanan asas seperti beras, gula dan bijirin yang lain sesuai ditanam di negara ini. Jika kekurangan buruh dijadikan alasan,kita boleh menggunakan buruh-buruh asing yang bekerja di sektor perkilangan, perkhidmatan dan sebagainya untuk bekerja di sektor pertanian. Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat menggunakan khidmat buruh yang murah bahkan dapat mengelakkan buruh-buruh asing ini daripada merampas peluang pekerjaan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat tempatan.
Sektor pertanian telah memainkan peranan penting di dalam pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia. Di peringkat awal, penanaman tanaman makanan seperti padi, sayur-sayuran, buah-buahan serta kegiatan menangkap ikan dan menternak telah menyediakan sumber makanan, mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan pada penduduk-penduduk tempatan. Kegiatan pertanian pada masa itu adalah pertanian sara diri dan tradisional. Tanaman industri iaitu getah mula diperkenalkan pada tahun 1887 apabila benih getah ditanam di Kuala Kangsar, Perak. Penubuhan Institut Penyelidikan Getah pada tahun 1926 telah mengorak langkah menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama getah asli di dunia untuk beberapa abad sehinggalah akhir tahun 1980an. Tanaman kelapa sawit mula diperkenalkan dan dimajukan pada awal 1960an diikuti dengan koko pada tahun 1970an. Seterusnya penubuhan Institut Penyelidikan Kelapa Sawit (PORIM) pada tahun 1979 telah menjadikan kelapa sawit sebagai satu tanaman strategik kepada ekonomi Malaysia. Sumbangan terhadap Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) telah meningkat kepada RM6.8 bilion pada tahun 1995, berbanding RM3.6 bilion pada tahun 1985 iaitu peningkatan sebanyak 5.6 peratus. Jumlah kawasan tanaman sawit telah meningkat daripada 1.5 juta hektar pada tahun 1985 kepada 2.5 juta hektar pada tahun 1995. Penubuhan Lembaga Koko Malaysia pada tahun 1988 untuk menjalankan penyelidikan mengenai pengeluaran pemerosesan, penyimpanan dan penggunaan mengukuhkan lagi kedudukan tanaman koko sebagai tanaman selingan dalam sektor pertanian Malaysia.
3.1 TRANSFORMASI SEKTOR PERTANIAN
Sektor pertanian dan industri asas tani perlu mengalami transformasi untuk menjadikan sektor ini lebih moden, dinamik dan berdaya saing. Justeru, kerajaan di bawah kementerian yang berkaitan melihat usaha-usaha berikut sebagai jalan penyelesaiannya:
(i) Transformasi Ladang
Saiz tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti dan kos pengeluaran yang tinggi. Program untuk memperolehi faedah berskala seperti projek kelompok, pemuliharaan tanah terbiar secara estet/kelompok, Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Projek 10 Tan Padi telah pun dilaksanakan. Dalam skim-skim ini, Amalan Pertanian Baik (Good Agriculture Practices) digalakkan supaya keluaran pertanian yang dihasilkan adalah berkualiti dan selamat dimakan. Program Plantation Integration Areas (TAC) juga dilaksanakan bagi mengoptimumkan penggunaan kawasan perladangan bagi menjanakan hasil sampingan dengan ternakan lembu.
(ii) Transformasi Tenaga Buruh Kepada Penggunaan Mekanisasi, Otomasi dan Teknologi
Negara perlu meningkatkan tahap dan proses pengeluaran daripada yang bergantung berat kepada tenaga buruh kepada berintensifkan modal, teknologi dan berasaskan ilmu pengetahuan. Program pemindahan teknologi dan cara tanaman yang baru bagi meningkat produktiviti telah dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan belia tani bagi melahirkan usahawan tani, program fertigasi tanaman pertanian, dan sistem ternakan ayam secara tertutup (closed house system). Di dalam pembangunan perikanan pula, usaha bagi meningkatkan tahap teknologi dilaksanakan melalui program pen culture, akuakultur secara nukleus, open sea cage culture dan mengurangkan kehilangan hasil akibat ´post harvest´.
(iii) Pengurusan Ladang Yang Moden
Program latihan dan kemudahan akan dipertingkatkan bagi memastikan peladang dibekalkan dengan kemahiran teknikal dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti manakala pakar-pakar dan pekerja yang terlibat dalam aktiviti bimbingan dan latihan dilengkapkan dengan pengetahuan dan kepakaran bagi membantu masyarakat tani. Untuk mencapai tujuan ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang berusaha meningkatkan khidmat pengembangan dan khidmat nasihat teknikal. Inkubator-inkubator bagi memberi latihan tambahan juga telah dibina untuk memberi latihan kepada golongan sasar di ladang sebenar.
(iv) Daya saing Lebih Tinggi
Kualiti produk yang rendah dan tidak seragam menyebabkan hasil pertanian negara tidak dapat bersaing di pasaran global. Dengan harga yang tinggi di pasaran domestik dan jangkaan lambakan hasil pertanian dari luar negara yang lebih murah berikutan pembukaan pasaran di bawah pelaksanaan WTO dan AFTA, hasil pertanian negara akan menghadapi persaingan yang tinggi. Sehubungan itu, hasil pertanian negara perlu berkualiti dan mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa bagi membolehkan hasil pertanian dieksport mahupun dipasarkan di dalam negara. Konsep jaminan kualiti daripada ladang ke meja hidang akan diamalkan secara meluas melalui skim akreditasi serta kawalselia dan pemeriksaan veterinar yang ketat di ladang ternakan, kilang makanan haiwan, rumah penyembelihan, kilang pemprosesan, stesen kuarantin dan setiap pintu masuk ke dalam negara.
(v) Mempelbagaikan Pulangan Pelaburan
Masalah pulangan terhadap pelaburan yang rendah dan lambat dapat diatasi dengan memberi tumpuan kepada aktiviti integrasi tanaman-ternakan, intercropping, mixed farming dan juga marinovasi. Aktiviti pemprosean hiliran juga merupakan satu usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi masyarakat tani dan menambahkan pendapatan mereka dalam mengeluarkan produk yang diproses yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.
(vi) Pengezonan (zoning)
Selaras dengan pendekatan pembangunan pertanian berasaskan produk, pembangunan secara sektoral melalui pengezonan kawasan pengeluaran pertanian akan dilaksanakan. Ini bertujuan bagi membolehkan pembangunan pertanian secara kelompok dapat dihasilkan supaya faedah perbandingan (comparative advantage) diperolehi. Zon-zon pengeluaran ini termasuklah zon perindustrian akuakultur (ZIA), zon-zon tanaman, zon-zon pengeluaran ternakan dan kawasan integrasi ladang (TAC). Perlaksanaan zon-zon ini akan membolehkan para pengusaha meningkatkan hasil mereka kerana keadaan agro-klimatik yang sesuai untuk aktiviti tertentu. Selain daripada itu, ia juga membolehkan kerajaan menumpukan khidmat sokongan mengikut jenis aktiviti pertanian yang dilaksanakan di kawasan tertentu.
(vii) Insentif Untuk Projek Pengeluaran Makanan
Kerajaan juga menyediakan insentif istimewa bagi projek pengeluaran makanan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Di bawah insentif ini, syarikat-syarikat yang mengusaha atau melabur dalam projek pengeluaran makanan layak mendapatkan insentif khas selain daripada insentif-insentif lain seperti taraf perintis, insentif untuk menggalakkan eksport dan sebagainya.
(viii) Latihan
Pusat Latihan Pertanian Negara dipertanggungjawabkan bagi merancang, menyelaras dan menilai program latihan kemahiran selaras dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi melahirkan pekerja dan usahawan tani yang berpengetahuan dan berkemahiran. Selain daripada itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga sedang membina Kolej Pertanian di Kedah di samping meningkatkan taraf 40 institusi sedia ada supaya dapat memberikan latihan yang lebih baik kepada golongan sasar.
(ix) Kemudahan Infrastruktur
Sebagai usaha untuk meningkatkan khidmat sokongan kepada sektor pertanian, kerajaan juga sedang berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur serta khidmat sokongan di sektor pertanian. Dalam hal ini, kemudahan-kemudahan seperti saliran dan pengairan serta jalan ladang akan diperbaiki dan dipertingkatkan dari masa ke semasa. Selain daripada itu, kemudahan pemasaran seperti pusat pengumpulan dan pengedaran produk pertanian juga disediakan. Tujuannya ialah untuk meningkatkan keberkesanan rangkaian pemasaran produk pertanian dari ladang ke pasaran.
Walaupun peruntukan yang besar diperlukan oleh sektor pertanian, kedudukan dan sumbangannya terhadap ekonomi negara tidak dapat disangkal. Justeru, mengekal dan memeliharanya merupakan langkah yang sangat bijak oleh kerajaan disamping dapat memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi bagi umat warganegara khasnya dan warga dunia amnya yang semakin bertambah.
3.2 Halangan Bidang Perniagaan Berasaskan Pertanian
Terdapat banyak permasalahan yang wujud dalam pertumbuhan ekonomi dimana antara faktor-faktor yang mempengaruhi pertumbuhan ekonomi adalah seperti perledakan penduduk, kekurangan buruh mahir dan usahawan, kekurangan modal, tingkat teknologi yang rendah serta pasaran yang terhad. Dengan pertumbuhan penduduk yang pesat, keperluan kebajikan penduduk adalah melebihi keupayaan menanggung negara dan dengan ini akan wujud saingan guna tanah di antara kawasan perindustrian yang produktif dengan kawasan perumahan yang kurang produktif. Selain daripada itu, kekurangan buruh mahir dan usahawan akan menyekat usaha penyelidikan dan pembangunan firma- firma dan juga menghadkan kuantiti keluaran dan menghalang pengeluaran barang yang lebih bermutu. Jadi dengan ini pertumbuhan ekonomi akan diperlambatkan. Kekurangan modal akan menghalang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi. Antara permasalahan yang lain adalah seperti tingkat teknologi yang rendah menghalang pemodenan sektor ekonomi dan seterusnya menyekat pertumbuhan ekonomi dan juga pasaran yang kecil dan terhad juga akan menghadkan pertumbuhan ekonomi.
3.3 Sokongan & Bantuan Kerajaan kepada Perniagaan berasaskan Pertanian
Pada pendapat saya, keadaan dunia yang kucar-kacir akibat peperangan yang sering tercetus mewajarkan kita menumpukan perhatian untuk membangunkan sektor pertanian secara lebih serius. Dalam masa yang sama, negara kita Malaysia mempunyai tanah-tanih yang subur, bebas daripada bencana alam atau keadaan huru-hara yang boleh memusnahkan sebarang kegiatan ekonomi. Jika kelebihan ini tidak dimanfaatkan, bermakna kita telah mensia-siakan anugerah Allah ke atas bumi kita. Dari satu sudut yang lain pula, kita telah melihat kegagalan banyak syarikat yang berasaskan industri dan perkilangan di negara ini untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Sebaliknya, jika kita menumpukan pengeluaran negara kita dalam menghasilkan produk pertanian, persaingannya di peringkat antarabangsa tidak sehebat persaingan dalam sektor perindustrian terutamanya sektor yang berasaskan teknologi maklumat.
Satu lagi alasan yang mewajarkan negara kita memberi tumpuan semula kepada sektor pertanian ialah bahan-bahan mineral yang ada di negara kita sudah semakin berkurangan. Petroleum dan gas asli dijangka akan habis menjelang tahun 2050 jika telaga yang baharu tidak ditemukan. Bijih timah dan bijih besi pula sudah tinggal sisa-sisanya sahaja sedangkan bahan-bahan ini amat penting untuk menggerakkan sektor perindustrian dan pembinaan. Sementelahan, kerajaan kita mempunyai pelbagai agensi yang dapat membantu meningkatkan kemajuan sektor pertanian seperti Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan agensi yang lain yang telah membuktikan keberkesanan peranan mereka. Malah sektor perikanan di negara kita khususnya perikanan laut dalam juga berpotensi untuk dimajukan sebagai sumber ekonomi yang baharu.
3.4 Risiko Perniagaan Pertanian
Antara risiko yang dijangka akan berlaku adalah :
- Masalah kewangan yang tidak mencukupi dalam melaksanakan projek berpotensi;
- Kelewatan dalam penerimaan pembayaran setelah selesai melaksanakan projek;
- Pengurusan tidak teratur;
- Tindakan kerja yang tidak teratur;
- Kemampuan dalam melaksana strategi perniagaan;
- Bencana luar jangka seperti banjir, kemarau dan penyakit tanaman
3.5 Langkah penyelesaian
Berdasarkan keadaan yang mungkin akan berlaku diatas, pihak pengusaha pertanian perlu memikirkan bahawa adanya satu alternatif atau tindakan yang bersesuaian bagi mengatasi masalah tersebut. Antara langkah-langkah tersebut adalah :
- Menyimpan dana yang mencukupi;
- Melakukan pembelian aset yang boleh dijual-semula atau disewakan kepada pihak tertentu dengan kadar segera;
- Merancang aktiviti atau projek-projek dengan sebaik yang mungkin dan perlaksanaan dilakukan setelah dikenalpasti keadaan, masalah dan tindakan yang perlu diambil;
- Sebarang projek yang dikenalpasti akan dibuat secara sub atau borong dengan ahli pengurusan dalam syarikat yang dikenalpasti berkemampuan membawa peranan sebagai Pengurus Projek untuk projek tersebut;
- Memastikan bentuk pembiayaan(bantuan) dan pinjaman yang bersesuaian semasa atau sebaiknya sebelum merancang projek; dan
- Mendapatkan khidmat bantuan professional; dan
- Mendapatkan nasihat dari pelbagai aspek sebelum melaksanakan sesuatu urusan atau aktiviti perniagaan pertanian.
Dalam memastikan bahawa perniagaan mampu berkembang selaras dengan keadaan dan keperluan modal, pelbagai pendekatan perlu diambilkira. Konsep “semua pihak untung” akan sentiasa dijadikan panduan dalam memastikan keberkesanan perjalanan perniagaan. Antara pendekatan yang perlu itu adalah menjalankan perniagaan secara :
- Perkongsian bijak
- Pengurusan bijak
- Perniagaan pelbagai hala
- Perniagaan secara 2 hala(B2B,B2C dan C2C)
- Sokongan perniagaan
- Kerjasama strategik
- Ini adalah perlu bagi memastikan bahawa matlamat dan pengawal-selia perkara-perkara yang melibatkan aktiviti perniagaan primer dan sekunder dapat dijalankan dan diuruskan dengan sebaik dan mendatangkan keuntungan semaksima mungkin.
3.6 Kelemahan dan Kekuatan Kajian
Penubuhan institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan pemulihan tanah seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi pembangunan wilayah telah mempergiatkan lagi pembukaan tanah baru untuk tanaman industri di samping mencapai matlamat membasmi kemiskinan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sementara itu, penubuhan agensi-agensi khusus seperti FAMA(1965), Bank Pertanian Malaysia (BPM) (1969), MARDI (1969), Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) (1971), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) (1971), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (1970), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) (1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) (1973) dan beberapa agensi yang lain telah menyediakan kemudahan pemasaran, penyelidikan, kredit dan khidmat sokongan kepada kumpulan sasar dan mempergiatkan lagi pembangunan sektor pertanian. Semenjak pertengahan tahun 1980an, Malaysia telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang amat pesat sekali di mana ia telah mencapai pertumbuhan KDNK melebehi 8 peratus setahun selama sembilan tahun berturut-turut. Pertumbuhan yang pesat ini yang telah diterajui oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan sementara sektor pertanian telah mengalami kadar pertumbuhan yang kecil dan sederhana 2-3 peratus setahun. Pada tahun 1987 sektor pembuatan telah mengatasi sektor pertanian dari segi sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), peluang pekerjaan dan pendapatan eksport akibat daripada dasar menggalakkan perindustrian.
Sejak pelaksanaan DPN1 mulai 1984 dan DPN2 mulai 1992, sektor pertanian telah mencatat kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 3.2%. Jumlah nilai-ditambah pertanian telah meningkat dari RM11.9 bilion pada tahun 1985 kepada RM16.2 bilion pada tahun 1995. Nilai eksport barangan pertanian pula telah meningkat daripada RM 13.9 bilion tahun 1985 kepada RM 35.4 bilion pada tahun 1995 yang merupakan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 9.8%. Sungguhpun demikian, perkembangan pesat dalam ekonomi sejak tahun 1991 dan kegawatan ekonomi yang dihadapi sekarang telah menimbulkan cabaran baru dalam pengurusan sektor pertanian. Cabaran tersebut melibatkan masalah dan kekangan yang lazimnya berhubungkait dengan ekonomi yang berkembang pesat secara berterusan, terutamanya ekonomi yang mencapai tahap gunatenaga penuh serta menghadapi masalah defisit imbangan perdagangan.
4.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, saya menganggap bahawa sektor pertanian mempunyai asas yang kukuh dan potensi yang baik serta prospek yang cerah untuk dimajukan demi menjamin ekonomi negara kita yang kukuh serta mapan. Kita harus menggunakan segala kepakaran yang ada untuk memajukan bidang ini demi kestabilan ekonomi negara. Seluruh Rakyat Malaysia khususnya perlu berfikiran terbuka dan positif terhadap potensi sektor ini. Kerajaan Malaysia telah menjalankan pelbagai usaha seperti pembentukan dasar dan berbagai demi menjamin rakyat yang berpendapatan tinggi. Kita juga wajar menjadikan kejayaan negara-negara maju khususnya Jepun yang telah berjaya menguasai sektor perindustrian tetapi dalam masa yang sama terus membangunkan bidang pertanian untuk kesejahteraan hidup rakyatnya. Pergantungan ekonomi negara pada masa baru mencapai kemerdekaan amat bergantung kepada keluaran daripada sektor pertanian (getah) dan perlombongan (bijih timah). Negara Malaysia menjadi pembekal bahan mentah seperti getah dan bijih timah yang penting kepada England. Negara Malaysia juga menjadi tempat pasaran barangan/keluaran daripada industri England.Wujud ketidakseimbangan agihan pendapatan dan kekayaan di kalangan rakyat kerana di zaman penjajah terdapat kawasan-kawasan dan bahagian-bahagian tertentu yang tertumpu dan dibangunkan.
Keadaan ini telah mewujudkan jurang agihan pendapatan dan kekayaan di kalangan rakyat sama ada mengikut kawasan seperti luar bandar dan bandar, dan juga mengikut kaum. Dengan keprihatinan dan kewibaan pihak kerajaan Malaysia bagi menandatangani masalah ekonomi negara, maka Dasar Ekonomi Baru telah diwujudkan bagi mengurang dan membasmi kemiskinan dengan menambahkan pendapatan dan memperbanyakan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.Penyusunan semula masyarakat bagi membaiki keadaan ekonomi yang tidak seimbang supaya dapat mengurangkan dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Dengan wujudkan strategi yang berkesan oleh pihak kerajaan juga dapat mengeratkan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia. Hasrat kerajaan untuk mewujudkan ekonomi yang stabil pada tahun 2020 standing negara-negara luar lain yang maju juga dapat tercapai.
Lampiran
Jadual ringkas bagi perkembangan ekonomi di Malaysia :-
SEKTOR
|
PERKEMBANGAN
|
Pertanian
|
· Sabah dan Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia dan memiliki tanah yang luas belum diterokai.
· 321/2 juta ekar tanah di Malaysia dan hanya sepertiga sahaja telah dibangunan dan dimajukan.
· Tananam getah, kelapa sawit, kayu balak, koko, ternakan dan perikanan telah berkembang sekitar tahun 1980-an.
· Kayu balak, getah asli dan koko merupakan barang eksport utama Negara.
|
Getah
|
· Negara ini merupakan pengeksport utama skitar tahun-tahun 1980-an dan 4/5 daripada ladang getah di Tanah Melayu telah dikuasai oleh orang Eropah.
· Perkembangan teknologi membantu dalam meningkatkan produktiviti kualiti getah.
· Kerajaan mewujudkan RISDA(Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) pada tahun 1973.
· Peningkatan pengeluaran getah telah meningkat ke 1.5 juta hektar dan 46 juta hektar dimiliki sektor perladangan.
· Sekitar 1990-an, tanaman getah merosot ke 0.5% setahun berpunca dari penebangan pokok getah yang telah tua dan penanaman semula pokok getah baru.
|
Kelapa Sawit
|
· Telah mula ditanam di Negara ini sebagai satu projek percubaan pada akhir abad ke-19.
· Bermula tahun 1917, benih kelapa sawit jenis Deli(Sumatera) mula dikomersilkan.
· Sekitar tahun 1930, penanaman besar-besaran di lakukan di Johor.
· FELDA(Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) telah merancang penanaman kelapa sawit di skim-skim pembangunan tanah.
|
Perlombongan
|
· Meliputi bidang pengeluaran petroleum, bijih timah, tembaga, bauksit, bijih besi dan sumber galian.
· Lebih tertumpu kepada perlombongan petroleum yang mula beroperasi di Brunei Darussalam.
· Pada tahun 1970-an, bidang ini berkembang pesat di Bintulu,Sarawak melalui cari gali luar pantai.
· Pada tahun 1980-an Negara ini telah menjadi mengeksport bekalan gas asli sebanyak 13-15%.
· PETRONAS(Petroleum Nasional Berhad) penyumbang kepada pertambahan bekalan gas asli.
|
Perkilangan
|
· Merupakan sektor yang paling dinamik dan berkembang pesat dalam pembangunan ekonomi Malaysia pada hari ini.
· Pertumbuhan pesat berpunca daripada perubahan dasar perindustrian dalam negeri dimana penggantian import kepada industri berorientasikan eksport pengeluaran tekstil, jentera elk
· Pada sekitar tahun 1985, sektor ini mengalami kejatuhan nilai eksport dan sekitar tahun 1989 keluaran sektor ini mula kembali berkembang ke 25.1%.
|
Pembuatan
|
· Sektor ini merupakan cabaran kepada Negara kerana pertumbuhan belum mencapai sasaran seperti yang diharapkan.
· Pasaran dalam negeri adalah terhad dan kerajaan telah menyediakan asas yang bercorak eksport bersepadu.
|
Pertanian
|
· Sabah dan Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia dan memiliki tanah yang luas belum diterokai.
· 321/2 juta ekar tanah di Malaysia dan hanya sepertiga sahaja telah dibangunan dan dimajukan.
· Tananam getah, kelapa sawit, kayu balak, koko, ternakan dan perikanan telah berkembang sekitar tahun 1980-an.
· Kayu balak, getah asli dan koko merupakan barang eksport utama Negara.
|
RUJUKAN
BUKU:
Dr. Amarjit Kaur. (1991) . Semenanjung Tanah Melayu: Suatu Tinjauan Ekonomi Dalam Masyarakat Melayu Abad Ke-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Chang, H. (2003). Globalisation, economic development and the role of the State. Penang: Third World Network.
INTERNET:
Industri pertanian negara menyingkap potensi dan cabaran. Diperoleh pada 2hb Jun 2011.
Malaysia. Jabatan Perdana Menteri. Unit Perancang Ekonomi. (2010). Ninth Malaysian Plan (2006-2010) melalui http://www.epu.jpm.my/RM9/html/english.htm
Perbadanan Produktiviti Malaysia. (2011). Capaian Jun 19, 2011 melalui http://www.mpc.gov.my/home/index.php?cont=c2&item=1&sstr_lang=bm&t=3
Malaysia. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. (2006). IMP3: Pelan induk perindustrian ketiga 2006-2020; Malaysia ke arah daya saing global. Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
KERATAN MAJALAH :
Majalah Agrobiz Pertanian adalah perniagaan.



No comments:
Post a Comment